PRN13: DUN Pujut Saksikan Pertembungan Tiga Penjuru
MIRI: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.74 Pujut menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Ketiga-tiga calon disahkan layak bertanding selepas proses penamaan calon selesai di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Sri Gemilang, Sekolah Kebangsaan Anchi, di sini pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Siti Suhana Rosli mengumumkan perkara itu selepas proses semakan dan pengesahan dokumen pencalonan selesai dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Tiga calon berkenaan ialah penyandang kerusi, Adam Yii Siew Sang daripada GPS yang mewakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Voon Kai Foo daripada DAP dan Leslie Ting Sionh Ngiap daripada PBK.
Sementara itu, proses penamaan calon berlangsung lancar dan terkawal dengan urusan penerimaan serta semakan dokumen pencalonan dikendalikan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada PRN Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Adam Yii berjaya memenangi kerusi DUN Pujut.
PRN kali ini menyaksikan beliau kembali bertanding bagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan berdepan saingan daripada calon DAP dan PBK.
SPR menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13.-EDISI UKAS