Dr Dayang Nurfizawati Menang Tanpa Bertanding DUN Muara Tuang
KOTA SAMARAHAN: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Muara Tuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengumuman kemenangan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Abdul Razak selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Sabtu.
Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Fifi berkata, kemenangan itu disambut dengan penuh kesyukuran sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Muara Tuang, jentera parti serta semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang proses pencalonan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Rubiah Wang dan Datuk Idris Buang atas sokongan serta bantuan yang diberikan sepanjang perjalanan politik beliau.
Menurutnya, pengalaman lebih sembilan tahun sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak serta penglibatan aktif dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadi antara pengalaman penting dalam perjalanan politik beliau.
“Sejak dahulu saya berfikiran bahawa apabila kita menyertai politik, kita mempunyai peluang untuk membantu orang lain. Sebab itu saya memang minat melakukan kerja-kerja kebajikan sejak di bangku sekolah,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon.
Beliau yang mula menyertai PBB pada usia 18 tahun turut menganggotai Majlis Tertinggi Wanita PBB sejak 2013.
Mengulas mengenai tanggungjawab baharu itu, beliau berharap dapat bekerjasama rapat dengan seluruh masyarakat Muara Tuang termasuk jentera parti dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam memastikan kebajikan serta keperluan penduduk terus diberi perhatian.
“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk Muara Tuang. Terimalah saya sebagai salah seorang ahli keluarga besar Muara Tuang,” katanya.- EDISI UKAS