PRN13: DUN Tarat Saksikan Pertembungan Dua Penjuru
SERIAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Tarat menyaksikan pertandingan dua penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
Kedua-dua calon disahkan layak bertanding selepas proses penamaan calon selesai di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Tingkat Satu, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Khalid Manap mengumumkan perkara itu selepas proses semakan dan pengesahan dokumen pencalonan selesai dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Dua calon berkenaan ialah penyandang kerusi, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn daripada GPS dan Lebanon Ero daripada PBDS.
Sementara itu, proses penamaan calon berlangsung dalam suasana aman, lancar dan terkawal dengan urusan penerimaan serta semakan dokumen pencalonan dikendalikan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada PRN Sarawak Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Dato Sri Roland Sagah berjaya mempertahankan kerusi DUN Tarat yang diwakilinya sejak 2006.
PRN kali ini menyaksikan beliau kembali bertanding bagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan berdepan saingan daripada calon PBDS.
SPR menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13. -EDISI UKAS