Datuk Ibrahim Baki Menang Tanpa Bertanding, Pertahan Kerusi N.08 Satok
KUCHING: Datuk Ibrahim Baki daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.08 Satok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas menjadi satu-satunya calon mengemukakan kertas penamaan calon di Dewan Datu Merpati Jepang, di sini, pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ramzi Abdillah berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima satu kertas penamaan calon bagi bahagian pilihan raya negeri berkenaan dalam tempoh penamaan calon antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.
Beliau berkata, Ibrahim mengemukakan kertas penamaannya pada jam 9.04 pagi dan dokumen berkenaan diterima selepas selesai melalui proses semakan.
“Setelah selesai disemak, saya berpuas hati untuk menerima kertas penamaannya. Dengan itu, saya mengumumkan bahawa Ibrahim Baki daripada Gabungan Parti Sarawak disahkan menang tanpa bertanding dan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi bahagian pilihan raya negeri N.08 Satok,” katanya semasa mengumumkan keputusan tersebut.
Mengulas kemenangan itu, Datuk Ibrahim berkata, beliau bersyukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus mewakili GPS di kawasan DUN Satok.
Menurut beliau, kemenangan berkenaan bukan satu keistimewaan, sebaliknya membawa tanggungjawab dan amanah yang lebih besar untuk dilaksanakan.
“Bagi saya, hari ini amat bersejarah kerana inilah pertama kalinya kawasan N.08 Satok tidak dicabar oleh pihak pembangkang.
“Walau apa pun, ini bermakna satu kemenangan peribadi. Ia bukan satu keistimewaan, namun bermakna akan menambahkan lagi tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya kepada media selepas selesai pengumuman.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk meneruskan agenda kerajaan serta memberi perhatian kepada keperluan seluruh warga Satok tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, termasuk masyarakat pembangkang.
Katanya, kesejahteraan rakyat akan terus menjadi antara keutamaan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.
Datuk Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti, jentera GPS, penyokong serta penduduk Satok atas sokongan yang diberikan, selain mengucapkan terima kasih kepada SPR, pihak polis dan agensi kerajaan yang bertugas memastikan proses penamaan calon berjalan lancar dan teratur.
Terdahulu, kira-kira 1,500 penyokong mengiringi perarakan Datuk Ibrahim dari Dewan Anak Seni Bandarsah, Kampung Bandarsah ke pusat penamaan calon di Dewan SK Merpati Jepang.
Perarakan yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi itu berlangsung dalam keadaan hujan renyai sebelum tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 8.45 pagi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof bersama isteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, turut hadir menyantuni.-EDISI UKAS