Datuk Sharifah Hasidah Pertahan Kerusi DUN Samariang, Menang Tanpa Bertanding
KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.7 Samariang selepas diumumkan selaku pemenang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Perkara itu disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N.7 Samariang, Rudzamir Malek kira-kira jam 10.12 pagi tadi selepas tiada calon lain tampil menghantar borang pencalonan.
Datuk Sharifah Hasidah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) tiba di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Taman Sukma di sini kira-kira jam 8.42 pagi bagi menyerahkan borang pencalonannya.
Beliau diiringi pencadangnya Sulhie Salleh dan penyokong Patong Medin.
Terdahulu, ketibaannya di pusat penamaan calon disambut dengan sorakan kira-kira 1000 penyokong beliau termasuk suaminya, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman.
Turut memberikan sokongan kepada beliau Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.
Ketika ditemuramah, beliau merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menjadi wakil rakyat di kawasan DUN Samariang.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarganya serta seluruh jentera parti DUN Samariang yang telah memberikan sokongan kepadanya selama ini.
“Kita memang melaksanakan tugasan kita, kita turun padang sejak dari pilihan raya lepas lagi. Sehingga sekarang, kita turun padang menyantuni masyarakat, membawa projek-projek pembangunan.
“Insya-Allah selepas ini, kita akan teruskan agenda pembangunan kita di Samariang dan kita akan terus menyantuni masyarakat di Samariang,” katanya ditemuramah.
Pada PRN Ke-12 2021, Datuk Sharifah Hasidah menang dengan majoriti 10,283 undi selepas meraih 11,354 undi. - EDISI UKAS