Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi Semarak Sambutan Hari Sarawak
KUCHING: Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi edisi Julai 2026 berlangsung penuh istiadat di Dataran Ibu Pertiwi, Petra Jaya pada Sabtu bersempena sambutan Hari Sarawak sebagai usaha memperkukuh penghayatan rakyat terhadap identiti, sejarah dan kedaulatan negeri.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, dan dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah sempena sambutan Hari Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.
Upacara dimulakan dengan pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan Setempat DBKU, diikuti nyanyian lagu kebesaran negeri Ibu Pertiwiku, bacaan doa serta acara menaikkan Bendera Ibu Pertiwi berukuran 25 meter panjang dan 12.4 meter lebar pada tiang setinggi 99.4 meter.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Pancaragam dan Color Guard Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road serta persembahan lagu Pertiwiku Tercinta oleh Ermie Sanisha dan Azam Pitt sempena sambutan Hari Sarawak 2026.
Menurut DBKU, penganjuran upacara yang diperkenalkan sejak Julai 2024 itu bertujuan menyemai semangat cintakan Sarawak, memperkukuh perpaduan serta memupuk rasa bangga terhadap simbol kebesaran Sarawak.
Selain itu, ia turut menjadi antara tarikan di bandar raya Kuching dan platform mengangkat Bendera Ibu Pertiwi sebagai lambang identiti, warisan serta kedaulatan Sarawak.
Sejak diperkenalkan, upacara tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, selain Timbalan-Timbalan Premier, menteri kabinet negeri serta Setiausaha Kerajaan Sarawak.
Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi diadakan pada Ahad pertama setiap bulan dan terbuka kepada orang ramai sebagai platform menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh jati diri rakyat Sarawak.-EDISI UKAS