KPM Disaran Pertimbang Penerbitan Buku Sejarah Hari Kemerdekaan Sarawak
SERIAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran mempertimbangkan penerbitan sebuah buku sejarah khusus mengenai Hari Kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963 bagi meningkatkan pemahaman generasi muda terhadap sejarah dan identiti negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata, sambutan Hari Sarawak bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh kesedaran rakyat mengenai sejarah serta hak-hak Sarawak.
Menurut beliau, sambutan Hari Sarawak bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform penting untuk memperkukuh kesedaran rakyat mengenai sejarah, identiti serta hak-hak Sarawak.
"Sejarah Sarawak perlu didokumentasikan dan dipelajari secara lebih menyeluruh supaya rakyat, khususnya generasi muda, memahami identiti serta perjuangan negeri ini," katanya ketika berucap pada Program Semarak Kemerdekaan Hari Sarawak 2026 di Kampung Triboh, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal komited memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, antara keutamaan kerajaan negeri ialah mendapatkan semula hak dan kuasa berkaitan sektor pendidikan serta kesihatan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan memenuhi keperluan rakyat Sarawak.
Sementara itu, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, Program Semarak Hari Sarawak 2026 merupakan inisiatif UKAS untuk mendekati masyarakat serta menyemai semangat cintakan Sarawak.
Menurut beliau, pemilihan Kampung Triboh sebagai lokasi program merupakan kesinambungan penganjuran yang sebelum ini diadakan di beberapa kawasan lain bagi memastikan lebih ramai masyarakat dapat bersama-sama menghayati pengisian Hari Sarawak.
“Kita sebagai warga Sarawak, sepertimana pengisian bagi sambutan Hari Sarawak, merupakan titik sejarah yang kita mementingkan perjuangan hak dan identiti Sarawak.
“Mungkin kita dah tahu, kita golongan ibu bapa, dah tahu, mungkin di peringkat anak-anak kita yang bersekolah, perlu kita terapkan selalu tentang sejarah Sarawak,” jelasnya.
Tambah Awang Putrayusrie, program berkenaan menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin, ketua masyarakat dan penduduk melalui pendekatan turun padang, di samping mendekati golongan belia menerusi aktiviti sihat dan kemasyarakatan seperti konvoi Hari Sarawak yang diketuai oleh ADUN Bukit Semuja, John Ilus.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa UKAS sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Premier Sarawak turut berperanan mendengar isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, pegawai-pegawai UKAS yang hadir sepanjang program sentiasa bersedia menerima aduan, cadangan dan pandangan daripada masyarakat untuk disalurkan kepada agensi berkaitan bagi tindakan lanjut. -EDISI UKAS