Jawatankuasa Neighbourhood First Dicadang, Perkukuh Keselamatan Komuniti
KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Neighbourhood First bagi kawasan Batu 3 hingga Batu 10 dicadang bagi memperkukuh kerjasama antara komuniti, pemimpin setempat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha meningkatkan keselamatan kawasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang berkata, jawatankuasa tersebut akan menjadi platform penting untuk menyatukan penduduk, ketua masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak polis dalam menangani isu keselamatan secara lebih tersusun dan berkesan.
“Saya berharap jawatankuasa tersebut dapat menggalakkan lebih ramai penduduk menyertai program keselamatan komuniti serta memainkan peranan sebagai rakan strategik PDRM melalui perkongsian maklumat berkaitan jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Neighbourhood First Community Engagement Dialogue – Dialog Keselamatan Bersama PDRM yang berlangsung di Dewan Masyarakat Batu 10, pada Sabtu.
Program berkenaan dianjurkan oleh Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF), Kelab Pencegahan Jenayah serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
Pada sesi dialog tersebut, peserta diberikan penerangan mengenai aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), iaitu inisiatif PDRM yang membolehkan orang ramai menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan jenayah secara terus melalui telefon pintar.
Peserta turut diberi tunjuk ajar memuat turun aplikasi VSP menerusi Google Play Store dan Apple App Store, selain didedahkan kepada fungsi serta kaedah penggunaannya.
Aplikasi VSP bukan sekadar medium membuat laporan selepas sesuatu kejadian berlaku, sebaliknya berfungsi sebagai platform pencegahan jenayah melalui penyaluran maklumat awal daripada masyarakat.
Maklumat mengenai individu atau aktiviti yang mencurigakan membolehkan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan mengambil tindakan lebih awal bagi mencegah kejadian jenayah.
Menurut Dato Ir Lo, penubuhan Jawatankuasa Neighbourhood First bersama penggunaan aplikasi VSP secara lebih meluas diyakini mampu memperkukuh hubungan antara komuniti dan PDRM, sekali gus mewujudkan kawasan Batu 3 hingga Batu 10 yang lebih selamat, harmoni dan bebas daripada ancaman jenayah. -EDISI UKAS