MBM Perluas Inisiatif Komuniti Lestari Sokong Agenda Pembangunan Mampan
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) terus memperluas inisiatif pembangunan komuniti lestari bagi memperkukuh pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui penglibatan aktif masyarakat di peringkat akar umbi.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, kejayaan membangunkan bandar raya yang mampan memerlukan komitmen bersama antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti menerusi amalan harian yang menyokong pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.
“Amalan seperti pengasingan sisa di punca, penanaman pokok, pengurangan penggunaan plastik sekali guna dan penjagaan kebersihan kawasan kediaman sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama membentuk bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Green Heroes’ Community Tour 2026: Jelajah Komuniti Lestari Bandaraya Miri Siri Ke-2 di Balai Raya Kampung Pujut Adong, di sini, pada Sabtu.
Menurut Adam Yii, program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Kampung Angkat LA21/SDG Bandaraya Miri yang bertujuan memperkukuh penyertaan komuniti dalam pelaksanaan agenda kelestarian, sekali gus menyokong aspirasi pembangunan mampan Sarawak menjelang 2030.
Katanya, ‘Green Heroes’ Community Tour’ bukan sekadar program kesedaran, sebaliknya platform memperkasakan komuniti supaya menjadi ejen perubahan dalam memelihara alam sekitar serta membudayakan gaya hidup lestari di kawasan masing-masing.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program termasuk penanaman pokok, Kempen ‘Zero Litter’ menerusi gotong-royong membersihkan kawasan kampung, taklimat pengasingan sisa, kempen ‘Waste to Wealth’, saringan kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pameran daripada pelbagai agensi.
Program turut diserikan dengan ceramah kesedaran mengenai keselamatan di habitat buaya oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC), pemeliharaan sungai oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta pencegahan denggi oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan, kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar.
Turut hadir semasa program itu ialah Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Ariffin Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap SDG MBM Kaunselor Jamil Bujang, Penghulu Kamarudin Reduan, Ketua Kaum Kampung Pujut Adong Fauzi Abdullah, ahli-ahli majlis, ketua-ketua jabatan, wakil agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk Kampung Pujut Adong.-EDISI UKAS