90 Pertubuhan di Senadin Terima Geran MRP Bernilai RM614,000
MIRI: Sebanyak 90 pertubuhan, organisasi dan badan amal di kawasan Senadin menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM614,000 bagi memperkukuh pelaksanaan program kebajikan, sosial dan kemasyarakatan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penyaluran geran itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan komuniti melalui sokongan kepada pertubuhan yang memainkan peranan penting di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, bantuan tersebut membolehkan pertubuhan melaksanakan lebih banyak program berimpak tinggi yang menyokong kesejahteraan rakyat serta memperkukuh pembangunan sosial di kawasan Senadin.
“Hari ini saya menyampaikan geran kepada 90 pertubuhan. Masih ramai lagi yang memohon dan bantuan akan disalurkan secara berperingkat kepada pertubuhan yang layak.
“Saya berharap geran ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya pada majlis penyerahan geran tersebut di Pejabat SUPP Cawangan Senadin, Permyjaya, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Lee, dana MRP merupakan antara inisiatif berterusan Kerajaan Sarawak bagi memperkasakan pertubuhan komuniti sebagai rakan strategik dalam melaksanakan aktiviti kebajikan, kemasyarakatan dan pembangunan sosial yang memberi impak kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata, agenda pembangunan kerajaan negeri akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik termasuk pembinaan jambatan, penaiktarafan jalan raya serta rangkaian Jalan Miri–Marudi–Mulu–Long Panai–Long Lama yang dijangka meningkatkan hubungan ke kawasan pedalaman serta merangsang pertumbuhan ekonomi dan pelancongan.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus mengekalkan perpaduan dan semangat kerjasama bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan bersama.-EDISI UKAS