Kerajaan Sarawak Perkukuh Pembangunan Awal Kanak-Kanak Melalui ECCE Inklusif
DALAT: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan awal kanak-kanak menerusi pelaksanaan pendekatan Early Childhood Care and Education (ECCE) Inklusif bagi memastikan setiap kanak-kanak, termasuk mereka yang berkeperluan khas, mendapat peluang perkembangan dan pendidikan yang optimum sejak peringkat awal kehidupan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, enam tahun pertama kehidupan merupakan tempoh paling kritikal dalam membentuk perkembangan otak, emosi, sosial dan penguasaan bahasa yang menjadi asas kepada pembelajaran sepanjang hayat.
“Sehingga kini terdapat 2,954 institusi pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (IPAKK) di seluruh Sarawak yang memberi perkhidmatan kepada 72,136 kanak-kanak, termasuk 1,022 kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Kesedaran ECCE Inklusif Siri 1/2026 di Dewan Sri Rumbia, Sekolah Kebangsaan Kampung Tanam, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Fatimah berkata, SeDidik Sarawak terus melaksanakan dasar “pintu terbuka” bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat akses kepada pendidikan awal yang inklusif.
Katanya, sejak tahun 2020, seramai 833 kanak-kanak berkeperluan khas telah menerima manfaat daripada pendekatan tersebut, manakala 471 warga kerja SeDidik telah mengikuti latihan pendidikan khas bagi memperkukuh pelaksanaan pendidikan inklusif.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak menjalin kerjasama dengan Toy8 dari Jepun dalam usaha memperkasa pengesanan awal perkembangan kanak-kanak melalui penyediaan saringan digital dan perkhidmatan teleterapi pertuturan.
Tambah beliau, pendekatan ECCE Inklusif memastikan semua kanak-kanak, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman, memperoleh peluang yang sama untuk belajar, bermain dan berkembang dalam persekitaran yang selamat, kondusif serta menghargai kepelbagaian.
Program Outreach Kesedaran ECCE Inklusif Siri 1/2026 menjadi platform memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak yang inklusif, di samping mengeratkan kerjasama antara ibu bapa, pendidik, pengusaha TASKA dan TADIKA, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, rakan strategik serta komuniti dalam membangunkan ekosistem pendidikan awal kanak-kanak yang lebih menyeluruh dan mampan.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli serta Pegawai Daerah Dalat, Mathew Hubert.- EDISI UKAS