SA’ATI RUN 2026 Semarak Sambutan Hari Sarawak, Himpun Lebih 700 Peserta di Bintangor
BINTANGOR: Larian SA’ATI RUN 2026 sempena sambutan Hari Sarawak berjaya menghimpunkan lebih 700 peserta dari pelbagai daerah, sekali gus menyemarakkan sambutan Hari Sarawak menerusi penghayatan gaya hidup sihat, semangat perpaduan dan kebersamaan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, sambutan yang diterima membuktikan komitmen serta sokongan padu masyarakat terhadap penganjuran aktiviti komuniti yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, SA’ATI RUN yang mula dianjurkan pada tahun 2023 kini memasuki penganjuran kali keempat, sekali gus mencerminkan kejayaan program itu untuk terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan masyarakat.
“SA’ATI RUN bukan sekadar acara larian, malah menjadi platform menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya ketika merasmikan acara tersebut di Dewan Masyarakat Bintangor, pada Sabtu.
Bersempena sambutan Hari Sarawak, beliau turut mengajak seluruh rakyat untuk terus menghargai sejarah, perpaduan dan kemajuan yang telah dicapai oleh negeri ini agar semangat cintakan Sarawak terus dipupuk demi mengekalkan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negeri.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada SUPP Youth Section Bintangor, SUPP Women Section Bintangor, SABERKAS Cawangan Bintangor, para penaja, sukarelawan, agensi yang terlibat serta semua pihak yang berganding bahu menjayakan program tersebut.
Beliau turut mengingatkan semua peserta supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sepanjang larian sebelum mengisytiharkan SA’ATI RUN 2026 sempena Hari Sarawak dibuka secara rasmi.
Hadir sama, isteri beliau Datin Kueh Nai Fun; Pengerusi Pengelola Larian SA’ATI RUN 2026, Ley Chee Hua; Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Meradong Abang Noramin Fathullah Abang Hadi; Ketua Bahagian Pengurusan Daerah (KBPD) Meradong, ASP Jonathan Nyanga Laga; Penolong Penyelia Pejabat Pendidikan Daerah Meradong, Joseph Ling Sui Ying; serta Pembantu Pustakawan Majlis Daerah Meradong dan Julau, Ricky Bakit.- EDISI UKAS