LGRAP 7.0 Perkukuh Akses Perkhidmatan Tenaga Kerja Di Opar
LUNDU: Program Labour Go Rural Area Programme (LGRAP) 7.0 terus memperkukuh akses masyarakat luar bandar kepada pelbagai perkhidmatan berkaitan tenaga kerja menerusi penganjurannya di Dewan Serbaguna Kampung Biawak, di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tenaga Kerja Sarawak kerana memilih Kampung Biawak sebagai lokasi penganjuran program tersebut, sekali gus membuktikan masyarakat luar bandar terus diberikan perhatian dalam agenda pembangunan kerajaan.
Menurut beliau, pembangunan tidak seharusnya diukur hanya melalui kemajuan fizikal, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan peningkatan kualiti hidup, kesejahteraan rakyat serta keupayaan masyarakat menjana pendapatan dan merebut peluang ekonomi baharu.
"Landskap pekerjaan kini berubah dengan begitu pantas seiring perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), justeru masyarakat perlu terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan kebijaksanaan agar mampu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa," katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Billy berharap inisiatif seumpama itu akan terus diperluaskan sebagai platform yang mampu memperkasakan komuniti luar bandar melalui penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih inklusif, mudah diakses dan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang mampan dan seimbang.
LGRAP 7.0 merupakan inisiatif strategik Jabatan Tenaga Kerja Sarawak di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertujuan memperluaskan akses kepada perkhidmatan berkaitan tenaga kerja menerusi pendekatan turun padang.
Program ini memberi tumpuan kepada penyampaian maklumat mengenai hak pekerja, tanggungjawab majikan, peluang pekerjaan, latihan kemahiran, perlindungan sosial serta pematuhan kepada undang-undang perburuhan, khususnya kepada masyarakat luar bandar.
Sepanjang penganjurannya, pelbagai aktiviti diadakan termasuk Pocket Talk Mobile Labour, Hari Bertemu Pelanggan, Labour Street Tours, pameran agensi, kaunter khidmat nasihat serta Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Program itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penduduk sekitar Bau dan Lundu dengan penglibatan 12 agensi kerajaan, selain memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara agensi dan komuniti. -EDISI UKAS