Pembangunan Berteraskan Keperluan Rakyat Terus Jadi Fokus Di Saribas
DEBAK : Agenda pembangunan berteraskan keperluan rakyat terus menjadi keutamaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan inisiatif sosioekonomi yang dirancang secara tersusun.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah memberi impak besar dalam mempercepat pelaksanaan projek pembangunan, khususnya melibatkan kemudahan asas seperti jalan raya dan infrastruktur awam.
Menurut beliau, pendekatan pembangunan yang dilaksanakan mengambil kira keperluan sebenar masyarakat bagi memastikan setiap projek memberi manfaat secara menyeluruh kepada penduduk.
“Peruntukan pembangunan yang disediakan Kerajaan Sarawak membolehkan pelbagai projek dirancang dan dilaksanakan secara lebih sistematik mengikut keutamaan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Saribas yang telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang Dipertua Parti PBB Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Perpaduan Debak, pada Sabtu.
Datuk Mohammad Razi berkata, selain pembangunan infrastruktur, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi menerusi cadangan Lubok Tambang Agropark serta penyediaan perumahan mampu milik bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Menurut beliau, sebanyak lima unit rumah yang telah siap dibina sebelum ini dicadangkan untuk dibuka kepada permohonan rakyat yang mempunyai lot tanah sendiri di beberapa kawasan termasuk Serembang, Bungin, Mangut, Debak dan Sebemban.
Sehubungan itu, beliau berharap ketua masyarakat dan pemimpin setempat bekerjasama dengan penduduk dalam mengenal pasti keperluan pembangunan agar setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi impak maksimum kepada komuniti.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, semangat kerjasama dan permuafakatan masyarakat menjadi antara faktor penting dalam memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Menurutnya, budaya saling membantu dan bekerjasama yang diamalkan masyarakat perlu terus diperkukuh bagi menyokong usaha kerajaan membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan tersebut.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir serta ADUN Beting Maro Razaili Gapor.-EDISI UKAS