Bakat Tempatan Penentu Kejayaan Industri Semikonduktor Sarawak
KUCHING: Pembangunan bakat tempatan merupakan faktor paling kritikal dalam memastikan Sarawak berjaya merealisasikan aspirasi menjadi hab industri semikonduktor serantau menjelang 2030.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan keperluan industri bagi memastikan Sarawak memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menerajui sektor teknologi masa depan.
Menurut beliau, program ‘SMD IC Design Make-A-Thon’ 2026 bukan sekadar pertandingan, sebaliknya merupakan inisiatif strategik pembangunan bakat yang memberi pendedahan awal kepada generasi muda dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC), inovasi dan penyelesaian masalah.
“Program seperti ini membawa pembelajaran melangkaui bilik darjah apabila peserta didedahkan kepada cabaran sebenar yang memerlukan pemikiran kritikal, kerjasama dan inovasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan SMD IC Design Make-A-Thon 2026 di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, pada Sabtu.
Dato Sri Roland turut menegaskan bahawa semikonduktor kini menjadi pemangkin kepada pelbagai teknologi strategik seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, mobiliti pintar dan sistem digital, sekali gus menjadikannya antara sektor utama dalam pembangunan ekonomi Sarawak.
Beliau berkata, menerusi ‘Sarawak Semiconductor Roadmap 2030’, kerajaan negeri sedang membina ekosistem semikonduktor yang lebih kukuh dengan memberi penekanan kepada pembangunan bakat, inovasi dan keupayaan industri.
Dalam masa sama, beliau berkata agenda transformasi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) turut memberi fokus kepada pembangunan sektor strategik termasuk semikonduktor, aeroangkasa, teknologi satelit, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, ekonomi digital dan industri angkasa lepas.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan belia Sarawak supaya yakin dengan kemampuan diri dan tidak mengehadkan cita-cita berdasarkan latar belakang atau lokasi geografi.
“Peluang dalam industri teknologi maju semakin berkembang dan Sarawak mahu bakat tempatan menjadi peneraju kepada pertumbuhan ini,” ujarnya.
Program yang berlangsung dari Mac lalu hingga Julai itu menarik 634 penyertaan membabitkan 575 pelajar sekolah menengah dan 59 pelajar institusi pengajian tinggi daripada 64 institusi di seluruh Sarawak.
Daripada jumlah itu, seramai 58 peserta daripada 23 institusi berjaya ke peringkat akhir, membentuk 15 pasukan yang menggabungkan pelajar sekolah menengah dan universiti bagi menggalakkan kolaborasi serta perkongsian ilmu merentas peringkat pendidikan. -EDISI UKAS