Pelaburan Dalam Bakat Sama Penting Dengan Infrastruktur
KUCHING: Pelaburan dalam pembangunan bakat tempatan perlu diberikan keutamaan setara dengan pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi bagi memastikan Sarawak berjaya merealisasikan aspirasi menjadi hab industri semikonduktor menjelang 2030.
Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata, sasaran mewujudkan 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi, menarik RM2 bilion pelaburan berkaitan semikonduktor serta menyumbang sehingga RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak hanya mampu dicapai sekiranya negeri ini memiliki modal insan yang mencukupi.
“Angka-angka ini akan kekal sekadar angka sekiranya kita gagal membangunkan bakat yang diperlukan. Sebab itu pelaburan dalam pembangunan manusia sama pentingnya dengan pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Penutupan SMD IC Design Make-A-Thon 2026 di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, pada Sabtu.
Tambahnya lagi, pembangunan bakat menjadi antara keutamaan Sarawak dalam usaha beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu inovasi dan teknologi.
Menurut Dato Sri Dr Wan Lizizman, semikonduktor kini menjadi nadi kepada pelbagai teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, elektronik termaju dan sistem pintar, sekali gus menjadikannya antara industri paling strategik dalam ekonomi global.
Sehubungan itu katanya, SMD Semiconductor berbangga menjadi organisasi pertama di Sarawak yang memperkenalkan program khusus dalam reka bentuk litar bersepadu untuk pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Katanya, bakat perlu dikenal pasti dan dipupuk sejak awal supaya mampu memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi pada masa hadapan.
Beliau turut menggesa golongan muda supaya berani bercita-cita tinggi tanpa membiarkan latar belakang atau tempat asal menjadi penghalang kepada kejayaan.
“Sama ada anda berasal dari bandar, rumah panjang atau kampung, jangan sesekali mengehadkan impian. Latar belakang tidak menentukan potensi, dan titik permulaan tidak menentukan sejauh mana anda mampu melangkah,” ujarnya.
Tambah beliau, program seperti SMD IC Design Make-A-Thon memberi pendedahan awal kepada peserta terhadap industri sebenar, sekali gus membuka ruang untuk mereka mengenal pasti potensi serta membina kerjaya dalam sektor teknologi yang semakin berkembang.
Menurutnya, peluang dan pendedahan sebegini amat penting kerana kadangkala hanya satu pengalaman mampu mencetuskan minat serta mengubah hala tuju masa depan seseorang, selain mengukuhkan saluran pembangunan bakat yang diperlukan untuk menyokong transformasi ekonomi Sarawak. -EDISI UKAS