ITC Eratkan Hubungan Strategik Bersama Agensi Kerajaan Melalui Kejohanan Boling Persahabatan
KUCHING: Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd (ITC) terus memperkukuh hubungan strategik dengan agensi kerajaan dan rakan industri menerusi penganjuran Kejohanan Boling Persahabatan di Megalanes, Batu Kawa, pada Sabtu.
Program yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 1.30 tengah hari itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan serta rakan industri dalam suasana santai yang menggalakkan jaringan profesional, semangat kesukanan dan kerjasama di luar persekitaran kerja.
Kejohanan melibatkan 25 lorong boling itu dimulakan dengan sesi pendaftaran sebelum para peserta berentap dalam tiga pusingan permainan, dengan jumlah keseluruhan mata bagi ketiga-tiga pusingan menentukan kedudukan akhir pasukan.
Sepanjang pertandingan, peserta berpeluang mengeratkan hubungan melalui semangat berpasukan dan interaksi yang lebih akrab, sekali gus mencerminkan kerjasama erat yang telah lama terjalin antara ITC dengan pelanggan serta rakan strategiknya.
Pasukan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) muncul juara selepas mencatat jumlah mata keseluruhan tertinggi, diikuti Pejabat Premier Sarawak di tempat kedua, manakala AirAsia Berhad meraih tempat ketiga.
Bagi memeriahkan lagi acara, peserta turut berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik hasil tajaan AirAsia, Malaysia Airlines, Firefly, Singapore Airlines, TBO.com dan Inter-Continental Travel Centre.
Kejohanan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang serta sesi bergambar sebagai kenangan.
Sebagai syarikat yang menitikberatkan hubungan jangka panjang dengan para pemegang taruh, ITC komited untuk terus menganjurkan program yang dapat mengukuhkan jaringan kerjasama di luar urusan perniagaan.
Menurut ITC, penganjuran kejohanan seumpama ini bukan sahaja menjadi platform menghargai sokongan rakan strategik, malah memperkukuh semangat kolaborasi yang menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan dan perjalanan di Sarawak. -EDISI UKAS