Penguasaan Bahasa, STEM Perlu Diperkasa Bagi Sokong Keperluan Ekonomi Baharu Sarawak
BETONG: Penguasaan pelbagai bahasa serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu terus diperkasakan bagi melahirkan modal insan berkualiti yang mampu memenuhi keperluan ekonomi baharu Sarawak, termasuk ekonomi digital, ekonomi hidrogen dan industri berteknologi tinggi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, usaha memperkukuh pendidikan dalam aspek tersebut penting bagi memastikan generasi muda memiliki daya saing di peringkat global.
“Selain menguasai bahasa ibunda, anak-anak juga perlu didedahkan kepada bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris dan Mandarin bagi membolehkan mereka memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merarau PIBG SK Nanga Ajau 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas utama dalam membentuk modal insan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menjamin masa depan yang lebih cerah, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Betong.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa, PIBG dan seluruh komuniti agar terus memberi sokongan terhadap segala program pendidikan yang dianjurkan pihak sekolah demi memastikan kecemerlangan anak-anak dapat diperkasakan secara berterusan.
Datuk Gerald berkata, perkembangan pesat ekonomi Sarawak dalam sektor ekonomi digital, ekonomi hidrogen dan industri berteknologi tinggi memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang STEM.
Justeru, katanya, guru memainkan peranan penting dalam memupuk minat murid terhadap STEM melalui pendekatan pengajaran yang mengaplikasikan teknologi digital selaras dengan perubahan landskap pendidikan masa kini.
Pada majlis sama, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada PIBG SK Nanga Ajau bagi menyokong pelaksanaan program-program sekolah pada masa hadapan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Insentif Murid Tahun 6 2025 sebagai penghargaan kepada murid cemerlang serta suntikan motivasi kepada murid lain untuk terus mencapai kecemerlangan akademik.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Betong Anis Madeli, wakil Pegawai Daerah Betong Kato Dorsie, Pengerusi Layar Education Development Committee (LEDC) Paul Langgang, Pemangku Guru Besar SK Nanga Ajau Maxwell Harold Selamat, Pengerusi PIBG SK Nanga Ajau Rahynold Rehenggia, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong, Pemanca Norman Ngumbang serta para pengetua dan guru besar.- EDISI UKAS