Pesta Payak Merah Tebelu Angkat Potensi Produk Tempatan, Rancakkan Ekonomi Komuniti
SEBUYAU: Penganjuran Pesta Payak Merah Tebelu 2026 terus mengangkat potensi payak merah sebagai produk ikonik Kampung Tebelu, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan, keusahawanan dan ekonomi komuniti setempat.
Majlis perasmian pesta itu disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi di Kampung Tebelu, pada Sabtu.
Program yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Julai itu menghimpunkan kira-kira 150 pengunjung dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang menonjolkan keunikan hasil laut serta warisan budaya tempatan.
Antara pengisian utama ialah pertandingan dan pameran, jualan usahawan tempatan, promosi pelbagai hidangan berasaskan payak merah, persembahan kebudayaan serta aktiviti kemasyarakatan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk dan pengunjung.
Penganjuran pesta berkenaan bertujuan mempromosikan payak merah sebagai produk istimewa Tebelu, di samping membuka peluang kepada usahawan tempatan memperluaskan pasaran serta menjana pendapatan melalui aktiviti ekonomi berasaskan komuniti.
Selain menjadi platform memperkenalkan potensi Tebelu sebagai destinasi yang kaya dengan hasil laut dan warisan budaya, program itu turut mengukuhkan hubungan silaturahim, memupuk semangat perpaduan dan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam pembangunan setempat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Pengerusi Pesta Payak Kampung Tebelu 2026 Abang Khairul Bariah Abang Nasron, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Sebuyau Asli Yahya dan Ketua Masyarakat Kampung Tebelu Fauzi Lias. -EDISI UKAS