MSS, Kelab Kebudayaan Wajar Terima Peruntukan Lebih Besar Bagi Perkasa Seni Warisan
SIBU: Kerajaan Sarawak disaran menambah peruntukan kepada Majlis Seni Sarawak (MSS) serta kelab-kelab kebudayaan tempatan bagi memperkukuh usaha memartabatkan seni warisan dan budaya negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, peningkatan peruntukan itu juga wajar disertai dengan penawaran hadiah yang lebih lumayan pada masa hadapan sebagai penghargaan terhadap penyertaan dan komitmen golongan muda dalam bidang seni budaya.
"Bagi agensi seperti MSS dan kelab-kelab lain yang sentiasa aktif dalam aktiviti budaya ini, saya rasa kerajaan harus memberikan lebih sedikit bajet dan menawarkan hadiah yang lebih besar pada masa akan datang kerana kita dapat melihat minat warga muda yang amat menakjubkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Festival Tari & Lagu Melayu Asli Ke-36 Peringkat Sibu di Dewan Baitulmal, Kompleks Islam Sibu, pada Sabtu.
Datuk Abdullah berkata, usaha memperkasa seni dan budaya merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan yang seimbang ketika Sarawak terus mencatat kemajuan pesat dalam pembangunan fizikal dan digital.
Menurutnya, pembangunan sesebuah wilayah bukan hanya diukur melalui pembinaan jalan raya, jambatan atau infrastruktur moden, malah turut melibatkan pemeliharaan identiti, warisan dan budaya masyarakat.
"Dalam kita melalui arus pemodenan ini, inisiatif MSS untuk menarik minat semua warga sentiasa mendakap asas budaya dan asal-usul seni adalah sesuatu yang harus dipandang serius. Sementara kita melihat ke langit, jangan kita lupa pada budaya asal kita," ujarnya.
Tambah beliau, penglibatan generasi muda dalam pertandingan tari dan lagu asli bukan sahaja membantu memelihara warisan budaya, malah mengukuhkan perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu berkata, walaupun pembangunan budaya tidak dapat dilihat secara fizikal, ia memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri anak Sarawak agar terus berpegang kepada nilai dan identiti negeri.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah berkata komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan seni dan budaya dibuktikan melalui pelaburan dalam pembinaan kemudahan pusat seni.
Pada masa yang sama, beliau berharap agar saluran seperti TVS dan media lain dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempromosikan keunikan budaya Sarawak kepada masyarakat luar.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MSS Dr Suffian Jalet, Ahli Lembaga Pengarah MSS Prof. Dr. Musdi Sanat dan Sylvester Jussem, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MSS Awang Ikman Awang Sepian, Setiausaha Lembaga Pengarah MSS Yusfida Khalid, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kesenian dan Kebudayaan) merangkap Ketua Bahagian Pengurusan Seni dan Budaya MSS Easter Melebeh, wakil Residen Bahagian Sibu Nursyarmilla Jeruis serta Pengurus Pengurusan Kompleks Islam Sarawak Bahagian Sibu Abang Ahmad Ariffin Abang Bolhassan.-EDISI UKAS