AirBorneo Sokong Perkembangan Pelancongan Perubatan Sarawak
KUCHING: AirBorneo dijangka menjadi antara pemangkin kepada perkembangan pelancongan perubatan di Sarawak dengan memudahkan lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara mendapatkan rawatan kesihatan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak kini mempunyai beberapa hospital swasta yang semakin berkembang dan bakal memiliki pusat kanser bertaraf moden, sekali gus berpotensi menarik lebih ramai pesakit dari luar negara mendapatkan rawatan di negeri ini.
“Kita mempunyai kemudahan perubatan swasta yang semakin berkembang dan standard rawatan yang boleh dikekalkan. Ramai orang boleh datang ke Sarawak untuk mendapatkan rawatan.
“Kita juga akan membina sebuah pusat kanser. Ini merupakan satu inisiatif logistik untuk membolehkan orang datang ke Sarawak mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penerbangan Sulung AirBorneo ke luar Sarawak bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, pada Isnin.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari lagi, AirBorneo turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesalinghubungan di dalam Sarawak, seluruh Malaysia, ASEAN dan destinasi antarabangsa bagi menyokong pembangunan ekonomi negeri secara menyeluruh.
Katanya, rangkaian penerbangan yang lebih meluas akan memudahkan pergerakan penumpang, pelabur dan pelancong, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan daya saing Sarawak di peringkat serantau.
Beliau berkata, kesalinghubungan yang lebih baik itu juga akan menyokong pertumbuhan pelancongan perubatan apabila lebih ramai pengunjung dapat datang ke Sarawak untuk mendapatkan rawatan, di samping merancakkan sektor pelancongan dan perkhidmatan yang menjadi antara pemacu ekonomi negeri.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie