Kejohanan Bola Jaring MSSS Platform Cungkil Bakat Baharu Sarawak
BETONG: Kejohanan sukan seperti bola jaring bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kejuaraan, malah menjadi platform penting mencungkil bakat muda yang berpotensi mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, beliau yakin daripada kalangan atlet yang bertanding dalam Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah Sarawak (MSSS) 2026 akan lahir pemain berkualiti yang mampu mewakili negeri dan negara di peringkat lebih tinggi.
"Kepada atlet yang belum berpeluang membawa pulang pingat, jangan berasa kecewa. Seorang atlet yang hebat bukan sahaja dinilai melalui jumlah kemenangan, tetapi ia dinilai juga melalui disiplin, integriti dan semangat untuk terus memperbaiki diri.
"Jadikan kejohanan ini sebagai pemangkin dan pembakar semangat untuk meningkatkan prestasi pada masa akan datang. Jangan sekali-kali berputus asa kerana kekalahan merupakan satu proses pembelajaran ke arah kejayaan yang lebih besar," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Bola Jaring MSSS Tahun 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu berkata, beliau sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan bakat murid di Sarawak bagi memastikan generasi muda bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menyerlah dalam bidang sukan.
Sebagai tanda penghargaan terhadap pembangunan bola jaring di Bahagian Betong, beliau turut menyumbangkan RM10,000, masing-masing RM5,000 kepada Kelab Kebajikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong dan Kelab Kebajikan PPD Saratok.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Betong merangkap Pengerusi Pengelola Jawatankuasa Kejohanan, Anis Madeli berkata, kejohanan yang berlangsung selama enam hari itu telah menjadi platform bagi memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan peserta dari pelbagai daerah.
Menurut beliau, persaingan yang sihat sepanjang kejohanan telah berjaya mencungkil bakat baharu untuk dipilih mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan di Melaka, selain memupuk nilai kepimpinan, disiplin dan daya tahan mental para peserta.
Kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dengan kerjasama PPD Betong, PPD Saratok dan SMK Pusa ini telah menghimpunkan seramai 144 orang atlet bagi kategori 12 Tahun Ke Bawah (12TKB), 142 orang bagi kategori 15 Tahun Ke Bawah (15TKB) dan 114 orang bagi kategori 18 Tahun Ke Bawah (18TKB).
Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Bintulu muncul juara bagi kategori 12TKB, meninggalkan MSSB Kuching (Naib Juara), MSSB Sibu (Ketiga) dan MSSB Kapit (Keempat).
Untuk kategori 15TKB pula, juara disandang oleh MSSB Sibu yang menewaskan Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Tabuan Jaya (Naib Juara), manakala MSSB Bintulu dan MSSB Kapit masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Sementara itu, SSN SMK Tabuan Jaya cemerlang menjuarai kategori 18TKB, mengetepikan cabaran MSSB Kuching (Naib Juara), MSSB Miri (Ketiga) dan MSSB Bintulu (Keempat).
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah PPD Saratok (Sektor Pembangunan Murid) Julia Dolen mewakili Pegawai PPD Saratok, Penolong Pengarah Unit Sukan (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Grace Sim Kai Luan, Timbalan Pegawai Daerah Betong Kato Dorsie mewakili Pegawai Daerah Betong, Pengetua SMK Pusa merangkap Naib Pengerusi 1 Ahli Jawatankuasa Kejohanan Saini Bakar serta Pengetua SMK St Augustine merangkap Pengerusi Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Ujai Sambau.-EDISI UKAS