Penerbangan Sulung AirBorneo Kuching-Kuala Lumpur Buka Lembaran Baharu Ketersambungan Sarawak
KUCHING: Penerbangan sulung komersial AirBorneo bagi laluan Kuching ke Kuala Lumpur hari ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuh kawalan Sarawak terhadap ketersambungan udaranya sendiri, serta menandakan kemasukan syarikat penerbangan itu ke era penerbangan jet komersial.
Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Airways, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, detik bersejarah itu merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan AirBorneo serta mencerminkan usaha negeri ini memperkukuh ketersambungan menerusi pengoperasian dua pesawat Boeing 737-800 secara ‘wet lease’.
"Ini membuktikan keupayaan Sarawak menterjemahkan visi strategik yang berani kepada realiti bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Penerbangan Sulung AirBorneo bagi laluan Kuching ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, pada Isnin.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyempurnakan majlis perasmian penerbangan berkenaan.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata, peranan AirBorneo sebagai "The Bridge That Connects the Community" diterjemahkan menerusi penyediaan perkhidmatan yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Menurutnya, samada pelajar yang melanjutkan pengajian, keluarga yang pulang menyambut Gawai, Hari Raya atau Tahun Baharu Cina, pekerja yang berulang-alik antara Timur dan Barat Malaysia, usahawan yang meneroka pasaran baharu mahupun pelawat yang ingin menikmati keindahan Sarawak, AirBorneo percaya setiap penerbangan akan mewujudkan peluang baharu serta mengukuhkan hubungan yang menyatukan komuniti.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah AirBorneo Airways, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Airways Sdn. Bhd. Megat Adrian Wira Mohd Aminuddin serta dif kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie