Kibaran Bendera Ibu Pertiwiku Semarak Patriotisme, Hayati Sejarah Kemerdekaan Sarawak
KUCHING: Program Kibaran Bendera Ibu Pertiwiku 2026 sempena Sambutan Hari Sarawak berjaya menghimpunkan kira-kira 300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat di Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS, pagi Sabtu, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme serta meningkatkan penghayatan terhadap sejarah Sarawak.
Program anjuran Kelab Sukan Komuniti Satok (KSK Satok) dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN N.8 Satok itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi KSK Satok, Ir. Irwan Zulkarnain Mohamad Hasbie, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samat Gany, Timbalan Pengerusi KSK Satok merangkap Pengerusi Pengelola Program Kibaran Ibu Pertiwiku 2026 Satok Edition, Iskandar Sharkawi, penghulu, ketua kampung, EXCO N.8 Satok, pemimpin belia serta penduduk setempat.
Sebelum majlis perasmian, peserta menyertai aktiviti senamrobik dan kayuhan basikal sejauh 5.2 kilometer sebelum berlangsungnya penyerahan Jalur Gemilang dan Bendera Sarawak “Ibu Pertiwiku” kepada wakil ketua masyarakat untuk diagihkan kepada penduduk sekitar kawasan Satok sebagai simbol menyemarakkan sambutan Hari Sarawak.
Dalam ucapannya, Datuk Ibrahim berkata program berkenaan bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi platform penting untuk memupuk semangat cintakan negeri, memperkukuh perpaduan masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap sejarah pembentukan Sarawak.
Beliau berkata sambutan Hari Sarawak pada setiap 22 Julai mengingatkan rakyat terhadap detik bersejarah apabila pentadbiran negeri diserahkan kepada pemimpin tempatan pada tahun 1963, yang menjadi antara peristiwa penting sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September tahun sama.
Menurut beliau, generasi muda khususnya perlu memahami perjalanan sejarah Sarawak bermula daripada era Kesultanan Brunei, pemerintahan Dinasti Brooke, pentadbiran British, pendudukan Jepun, gerakan anti-cession sehingga pembentukan Malaysia melalui Suruhanjaya Cobbold dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut menegaskan penghayatan terhadap sejarah penting bukan sahaja bagi mengenang jasa tokoh pejuang seperti Allahyarham Rosli Dhoby dan pejuang terdahulu, malah bagi memastikan hak-hak Sarawak yang termaktub dalam MA63 terus dipelihara dan dihormati.
Mengulas tema Hari Sarawak 2026, “Sarawak Maju Makmur, Segulai Sejalai”, beliau berkata ia mencerminkan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk terus memacu pembangunan, memperkukuh ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat berlandaskan semangat perpaduan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Sukan Komuniti Satok, Pusat Khidmat DUN N.8 Satok, agensi keselamatan, para sukarelawan dan semua peserta yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.
Selain memupuk semangat cintakan Sarawak dan Malaysia, program itu turut bertujuan menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang serta Bendera Sarawak “Ibu Pertiwiku” sebagai lambang kebanggaan, perpaduan dan identiti rakyat negeri ini.-EDISI UKAS