UKAS Jadi 'Jambatan' Komunikasi Antara Kerajaan & Rakyat, Perkasa Penyampaian Maklumat Sahih
SADONG JAYA: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh peranannya sebagai 'jambatan' komunikasi antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan setiap dasar, inisiatif serta agenda pembangunan negeri disampaikan secara tepat, pantas dan sahih.
Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali berkata, masyarakat perlu lebih berwaspada dalam menilai setiap maklumat yang diterima, khususnya melalui media sosial, bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan berita palsu atau kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Menurut beliau, UKAS berperanan menyampaikan maklumat rasmi kerajaan menerusi pelbagai platform komunikasi, termasuk Portal UKAS yang baharu dilancarkan oleh Premier Sarawak pada 16 Julai lalu.
“Kita mempunyai platform media sosial rasmi UKAS dan Portal UKAS sebagai medium utama untuk mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti wakil rakyat serta pelbagai inisiatif kerajaan.
“Jangan mudah percaya dengan maklumat yang tidak diketahui sumbernya. Rujuklah saluran rasmi supaya kita memperoleh maklumat yang tepat,” katanya ketika berucap semasa Majlis Penutupan Program Semarak Kemerdekaan Hari Sarawak 2026 di Rumah Panjang Kampung Sungai Buluh, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat, khususnya golongan veteran, supaya sentiasa berwaspada terhadap ancaman penipuan dalam talian (scam) yang semakin berleluasa.
Katanya, mereka disaran mendapatkan pandangan ahli keluarga atau merujuk pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan kehilangan wang simpanan atau pencen akibat diperdaya sindiket penipuan.
Beliau turut menyeru penduduk di Sadong Jaya agar terus menghargai pembangunan yang dilaksanakan kerajaan, termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Sadong yang telah meningkatkan jaringan perhubungan, memudahkan urusan harian serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Program Semarak Kemerdekaan Hari Sarawak 2026 merupakan inisiatif UKAS yang dianjurkan di seluruh Sarawak bagi menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan masyarakat.
Hadir sama Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris bersama isteri, Napsiah Abang Kaderi, Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, Penghulu Kawasan Iban Sadong Jaya, Pawi Sidi, Ketua Kaum Kampung Sungai Buluh, Nyanoh Jepoon serta ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum.-EDISI UKAS