Program JBRN Perkukuh Penghayatan Rukun Negara Dalam Kalangan Belia Sarawak
MUKAH: Program Jelajah Belia Rukun Negara (JBRN) Peringkat Negeri Sarawak 2026 terus menjadi medium memperkukuh penghayatan Rukun Negara dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan belia sebagai usaha melahirkan generasi yang bertanggungjawab serta menghargai kepelbagaian masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim, berkata penganjuran program itu merupakan antara inisiatif strategik Kementerian Perpaduan Negara yang selaras dengan aspirasi Dasar Perpaduan Negara 2021-2030 dalam memperkukuh integrasi nasional dan pembinaan negara bangsa.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Jelajah Belia Rukun Negara (JBRN) Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan Serbaguna Politeknik Mukah, di sini, pada Ahad.
Menurutnya, Rukun Negara perlu dihayati sebagai falsafah yang membentuk masyarakat bersatu padu, demokratik, adil dan progresif, bukannya sekadar lafaz yang dibacakan pada majlis rasmi.
Beliau turut memaklumkan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 menunjukkan skor perpaduan negara meningkat kepada 0.701, berbanding 0.629 pada 2022 dan 0.567 pada 2018, sekali gus mencerminkan keberkesanan pelbagai usaha memperkukuh perpaduan di negara ini.
Katanya, Sarawak turut mencatat skor 0.791, meletakkan negeri itu antara yang mempunyai tahap perpaduan tertinggi di Malaysia hasil keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya yang dipelihara sejak sekian lama.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan belia, khususnya mahasiswa, supaya terus memainkan peranan sebagai ejen perpaduan dengan mengamalkan nilai saling menghormati serta menggunakan media sosial secara berhemah untuk menyebarkan mesej positif yang mengukuhkan keharmonian masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Akademik) Politeknik Mukah yang mewakili Pengarah Politeknik Mukah, Iskandar Reduan, berkata institusi itu berbesar hati dipilih sebagai rakan kolaborasi dan tuan rumah program berkenaan.
Beliau berkata, seramai 300 pelajar Politeknik Mukah telah menyertai program selama dua hari satu malam yang mengetengahkan pelbagai modul interaktif bagi meningkatkan kefahaman peserta terhadap nilai perpaduan dan Rukun Negara.
Turut hadir Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional JPNIN, Fairojibanu Zainal Abidin; Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Sarawak, Giri Nyareng; serta Penasihat Sekretariat Rukun Negara Politeknik Mukah, Saifuddin Abdullah. - EDISI UKAS