Pesta Jagung Kampung Rebak Berpotensi Jadi Produk Agro Pelancongan Baharu Samarahan
ASAJAYA: Pesta Jagung Kampung Rebak berpotensi diketengahkan sebagai produk agro pelancongan baharu di Bahagian Samarahan sekali gus merancakkan ekonomi komuniti menerusi industri penanaman jagung yang semakin berkembang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemilihan Kampung Rebak sebagai lokasi penganjuran festival berkenaan adalah bertepatan memandangkan kawasan itu terkenal sebagai antara pengeluar jagung berkualiti di Sarawak.
Menurut beliau, jagung yang dihasilkan di Kampung Rebak bukan sahaja mendapat permintaan tinggi, malah menjadi antara jagung terbaik dari segi rasa dan kualiti.
“Penduduk di sini tidak perlu menunggu untuk menjual hasil mereka di tepi jalan kerana apabila tiba musim menuai, para peraih akan datang terus ke kampung untuk mendapatkan bekalan.
"Ini membuktikan industri penanaman jagung di Kampung Rebak mempunyai potensi besar dan mampu memberikan pulangan lumayan kepada para petani,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Jagung Kampung Rebak 2026, di sini, pada Ahad.
Dato Sri Abdul Karim berharap penganjuran festival berkenaan dapat dijadikan acara tahunan bagi menarik minat lebih ramai penduduk mengusahakan tanah terbiar dengan tanaman jagung.
Katanya, tanaman jagung mempunyai kelebihan tersendiri kerana tempoh pusingan tanaman yang singkat, iaitu antara dua hingga empat kali setahun, sekali gus membolehkan petani memperoleh pendapatan secara lebih konsisten.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim turut melihat potensi industri jagung untuk mewujudkan kesan limpahan ekonomi (spin-off) kepada sektor lain termasuk industri penternakan.
Menurutnya, selain buahnya yang boleh dipasarkan, daun dan sisa tanaman jagung juga boleh dimanfaatkan sebagai makanan ternakan terutama lembu.
“Sekiranya industri penanaman jagung terus berkembang, ia juga boleh membantu memperkasa industri penternakan lembu di Sarawak yang ketika ini berdepan cabaran bekalan.
“Kita tahu harga daging lembu di Sarawak antara yang tertinggi di rantau ini. Oleh itu, pendekatan mengintegrasikan sektor tanaman dan penternakan perlu diberi perhatian serius oleh agensi berkaitan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa Jabatan Pertanian untuk meneliti secara mendalam potensi pembangunan industri hiliran berasaskan jagung termasuk pengeluaran makanan ternakan dan pembangunan ekosistem pertanian yang lebih mampan. -EDISI UKAS