Mekanisme Subsidi Diesel Perlu Ambil Kira Keperluan Sabah, Sarawak
ASAJAYA: Kerajaan Persekutuan disaran memperhalusi mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan mengambil kira keperluan serta realiti yang dihadapi rakyat di Sabah dan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan yang dilaksanakan tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia memandangkan keadaan geografi dan corak penggunaan diesel di kedua-dua negeri di Borneo adalah berbeza.
"Kita tidak boleh menyamakan keadaan di Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung kerana jarak perjalanan yang jauh serta kebergantungan tinggi terhadap diesel.
"Sebarang mekanisme pelaksanaan subsidi perlu mengambil kira realiti dan keperluan sebenar rakyat di kedua-dua negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Jagung Kampung Rebak 2026 di Dewan Kampung Rebak, di sini, pada Ahad.
Tambahnya, ramai penduduk di kawasan luar bandar di Sarawak masih bergantung kepada diesel bagi kegunaan harian termasuk untuk pengangkutan, penjana elektrik dan aktiviti perikanan.
Dato Sri Abdul Karim memberitahu, pelaksanaan sesuatu dasar berkaitan subsidi perlu mengambil kira keadaan setempat agar tidak membebankan rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Justeru, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat meneliti semula mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi diesel supaya ia lebih bersesuaian dengan keperluan rakyat di Sabah dan Sarawak serta tidak menjejaskan kehidupan harian mereka. -EDISI UKAS