Kanak-kanak Perlu Dipersiap Hadapi Cabaran Masa Depan
DALAT: Kanak-kanak perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan, kemahiran digital, daya inovasi dan nilai murni bagi memastikan mereka mampu menghadapi cabaran dunia yang semakin dipacu teknologi.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pelaburan terbaik yang boleh dilakukan pada masa ini adalah dalam pembangunan generasi muda.
"Ini kerana, generasi muda merupakan pewaris keluarga, masyarakat dan negeri Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Kanak-Kanak 2026 di Dewan Masyarakat Dalat, pada Ahad.
Dato Sri Fatimah berkata, Sarawak memerlukan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah tinggi, kemahiran berfikir secara kritis, kreativiti, daya tahan serta semangat perpaduan yang kukuh bagi merealisasikan aspirasi negeri maju menjelang 2030.
Beliau turut menegaskan, walaupun perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi digital semakin pesat, nilai kemanusiaan seperti adab, integriti, empati dan rasa hormat terhadap orang lain tidak boleh diketepikan.
Mengulas mengenai penyertaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam karnival tersebut, beliau menyifatkannya sebagai bukti komitmen untuk membina masyarakat yang inklusif serta meraikan kepelbagaian.
"Setiap individu termasuk OKU mempunyai potensi dan berhak menikmati peluang yang sama dalam pendidikan, pembangunan diri serta kehidupan bermaruah.
"Golongan OKU bukan sekadar penerima bantuan, malah memiliki bakat, kebolehan dan kreativiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri apabila diberikan peluang serta sokongan sewajarnya," ujarnya. - EDISI UKAS