Budaya Kebersihan Asas Bandar Raya Bersih, Sejahtera
KUCHING: Budaya kebersihan perlu dijadikan tanggungjawab bersama bagi memastikan Kuching terus berkembang sebagai bandar raya yang bersih, sihat dan lestari.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup perlu diperkasakan melalui kerjasama semua lapisan masyarakat bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan berkualiti.
"Kerajaan negeri menyasarkan Kuching berada dalam kelompok sembilan bandar paling bersih di dunia melalui pelbagai inisiatif mampan termasuk penggunaan pengangkutan awam berasaskan hidrogen," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Bulan Kebersihan DBKU 2026 di Dewan Bandar Baru Samariang, di sini, pada Ahad.
Tambahnya, Bulan Kebersihan DBKU 2026 bertemakan ‘Bandaraya Bersih, Komuniti Sejahtera’ menjadi platform memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman merakamkan penghargaan kepada DBKU atas kejayaan menerima ‘ASEAN Clean Tourist City Award 2026–2028’, yang sekali gus mengiktiraf komitmen berterusan bandar raya itu dalam memenuhi piawaian kebersihan antarabangsa.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin kepada semua pihak untuk terus memperkukuh usaha menjaga kebersihan dan mempertingkatkan kualiti persekitaran bandar.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar mengamalkan pengasingan sisa di punca, meningkatkan amalan kitar semula serta memperkasakan budaya gotong-royong bagi memastikan kebersihan menjadi amalan harian demi kesejahteraan generasi akan datang.
Turut hadir Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman, Pengarah DBKU Ramzi Abdillah, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak merangkap Ahli Dewan Bandaraya DBKU, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood serta Penghulu Bandar Baru Samariang Osen Bujang. -EDISI UKAS