SNPA Terima Peruntukan RM10,000 Sempena Hari Jururawat 2026
SARIKEI: Sarawak Nursing Professional Association (SNPA) menerima peruntukan sebanyak RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunannya sempena Sambutan Hari Jururawat 2026.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, sumbangan itu merupakan tanda sokongan terhadap usaha persatuan dalam memperkasa profesion kejururawatan serta menghargai jasa dan pengorbanan jururawat yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Hari Jururawat 2026 yang berlangsung di Dewan SMK St. Anthony, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, tema ‘Vintage Hearts, Timeless Care’ yang dipilih pada sambutan tahun ini amat bertepatan kerana mencerminkan keikhlasan, kasih sayang dan dedikasi jururawat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan.
Katanya, jururawat sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan pesakit menerima rawatan dan penjagaan yang berkualiti, selain menjadi individu yang memberikan kekuatan serta harapan kepada mereka sepanjang proses rawatan.
“Pengorbanan para jururawat yang bertugas pada waktu malam dan mengorbankan masa bersama keluarga, termasuk ketika musim perayaan, tidak mampu dibalas hanya dengan ucapan terima kasih. Kalian merupakan antara wira yang sentiasa berkhidmat demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, atas komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor kesihatan serta memartabatkan profesion kejururawatan di Sarawak.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan sektor kesihatan dan kebajikan petugas kesihatan bagi memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan yang berkualiti.
Turut hadir Pengerusi SNPA merangkap Pengerusi Majlis Makan Malam Jururawat Bahagian Sarikei 2026, Madam Wong Siew Hua; Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sarikei, Stanley Kung Teck Li; Pengetua Cemerlang SMK St. Anthony, Encik Vincent Liong Shou Chuan; Ketua Penyelia Jururawat Hospital Sarikei, Matron Suraya Kram; serta Pegawai Perubatan yang mewakili Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr. Rankle Abut.- EDISI UKAS