Isu Air Bersih DUN Kakus Diberi Keutamaan, pembinaan loji air di Sangan Dicadang
SELANGAU: Isu bekalan air bersih yang sekian lama membelenggu penduduk di kawasan DUN Kakus terus diberi perhatian apabila Kerajaan Sarawak dicadang mengambil alih pelaksanaan projek Bekalan Air Bersih Luar Bandar termasuk pembinaan loji air di Sangan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata projek berkenaan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sejak 2017 dengan kos RM190 juta masih belum dilaksanakan hingga kini.
Menurut beliau, walaupun terdapat cadangan untuk meneruskan projek tersebut dengan kos lebih rendah iaitu sekitar RM136 juta, namun kerja pembinaan masih belum bermula dan keadaan itu tidak boleh berlarutan.
“Bekalan air bersih merupakan keperluan asas rakyat dan kita tidak boleh terus menunggu terlalu lama. Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) supaya projek ini dapat diambil alih oleh Kerajaan Sarawak dan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rh Lagat, Ulu Arip, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berharap pelaksanaan projek itu kelak mampu menyalurkan bekalan air bersih sehingga ke kawasan Sungai Arip atau alternatifnya menerima bekalan daripada sistem air Selangau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan lebih 90 peratus rumah panjang di DUN Kakus kini telah menikmati bekalan elektrik melalui sambungan grid, manakala kawasan pedalaman yang sukar diakses telah dibekalkan dengan sistem solar.
Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana rumah panjang yang masih belum menerima bekalan elektrik agar mengemukakan permohonan kepada Pejabat Daerah bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Menyentuh aspek pentadbiran komuniti, beliau menegaskan pelantikan Tuai Rumah bukan bersifat politik, sebaliknya dipilih sendiri oleh penduduk rumah panjang.
Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan agar Penghulu hadir sebagai saksi dalam mesyuarat pemilihan bagi memastikan proses berjalan telus dan teratur.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh penubuhan Sibu Economic Zone (SEZ) yang diumumkan oleh Premier Sarawak sebagai pemangkin baharu pembangunan ekonomi negeri, termasuk memberi limpahan manfaat kepada sebahagian kawasan di DUN Kakus.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Lagat serta RM5,000 kepada Biro Wanita Rh Lagat bagi menyokong aktiviti komuniti setempat.
Turut hadir, Chua Siong Wei yang mewakili Pegawai Daerah Selangau, Pemanca Mathew Belawan, Penghulu Lasit Bajieng serta Penghulu Dom Brok.- EDISI UKAS