Semangat Final Piala Dunia Warnai Perlawanan Persahabatan Pickleball SCS
KUCHING: Suasana perlawanan persahabatan pickleball antara pasukan Setiausaha Kerajaan Sarawak (SCS) dan Pasukan Peguam Besar Sarawak di Pikabol, Pending di sini pada Ahad tampil berbeza apabila kedua-dua pasukan mengenakan jersi pasukan bola sepak Piala Dunia sekali gus menyuntik kemeriahan serta menceriakan gelanggang pertandingan.
Pasukan Setiausaha Kerajaan Sarawak yang memperagakan jersi Argentina diketuai Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, manakala Pasukan Peguam Besar Sarawak tampil dengan jersi Sepanyol yang diketuai Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali sekali gus menghidupkan suasana seolah-olah aksi final Piala Dunia.
Perlawanan yang berlangsung selama kira-kira dua jam bermula pada pukul 3 petang itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Sarawak Civil Service (SCS) bagi mengukuhkan silaturahim, mempererat hubungan antara jabatan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Turut menyertai perlawanan tersebut ialah Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim, serta pegawai-pegawai kanan SCS.
Walaupun berlangsung dalam suasana santai, kedua-dua pasukan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi, kerjasama erat dan saling menghormati sepanjang perlawanan.
Penganjuran perlawanan itu bukan sahaja menggalakkan budaya hidup aktif, malah menjadi platform memperkukuh hubungan profesional, menyemai semangat SCS One Team serta mempererat budaya kerja berpasukan dalam kalangan warga perkhidmatan awam menerusi aktiviti sukan dan riadah.-EDISI UKAS