Kelestarian Alam Sekitar Penting Pastikan Sumber Perikanan Kuala Rajang Kekal Mampan
TANJUNG MANIS: Kelestarian alam sekitar perlu terus dipelihara bagi memastikan sumber perikanan di kawasan Kuala Rajang kekal mampan sekali gus menjamin kelangsungan pendapatan komuniti nelayan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, Kerajaan Sarawak komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan nelayan agar industri perikanan pantai terus berkembang serta menjana pendapatan yang lebih baik.
Usaha melepaskan benih ikan, jelas beliau, merupakan antara langkah pemuliharaan penting bagi mengekalkan populasi ikan serta memastikan sumber perikanan terus lestari untuk dinikmati generasi akan datang.
Beliau turut mengingatkan nelayan supaya mengamalkan kaedah penangkapan ikan secara berhemah dan bertanggungjawab bagi mengelakkan eksploitasi berlebihan yang boleh menjejaskan bekalan ikan pada masa hadapan.
"Pemuliharaan sumber marin memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya komuniti nelayan yang memainkan peranan penting dalam memastikan ekosistem perairan sentiasa terpelihara," katanya semasa program pelepasan benih ikan siakap di Iftitah Beach Resort, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan infrastruktur seperti projek pembesaran Lapangan Terbang Tanjung Manis serta penyediaan sistem jalan raya yang lebih baik akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Katanya, kemudahan tersebut bukan sahaja memudahkan urusan logistik dan pemasaran hasil laut, malah membuka lebih banyak peluang pasaran kepada pengusaha perikanan serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan Tanjung Manis dan Kuala Rajang.-EDISI UKAS