Industri Akuakultur Udang Kuala Rajang Berpotensi Perkukuh Jaminan Makanan Sarawak
TANJUNG MANIS: Industri akuakultur udang di Kuala Rajang berpotensi besar untuk terus diperkembangkan berikutan ekosistem semula jadinya yang sesuai, sekali gus memperkukuh agenda jaminan makanan serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, Kuala Rajang yang memiliki hutan paya bakau terluas di Sarawak merupakan habitat semula jadi udang dan pelbagai spesies hidupan marin bernilai tinggi.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke kolam akuakultur udang milik Syarikat Mas Selumit yang dibangunkan dengan bimbingan teknikal Jabatan Perikanan Sarawak di Selumit, di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, pembangunan industri tersebut merupakan antara pendekatan strategik Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh agenda jaminan makanan (food security) di samping meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan.
Katanya, projek berkenaan meliputi kawasan seluas 22.27 hektar dengan 25 kolam ternakan yang mampu memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Setiap pusingan ternakan yang mengambil masa kira-kira enam bulan mampu menghasilkan sehingga 100 tan metrik udang, manakala pengeluaran tahunan dianggarkan mencecah 200 tan metrik,” katanya.
Antara spesies yang diternak ialah Udang Putih dan Udang Harimau yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Udang Harimau dieksport ke beberapa pasaran utama termasuk Korea Selatan, Jepun dan Amerika Utara, manakala Udang Putih dipasarkan ke seluruh Sarawak bagi memenuhi permintaan domestik.
Datuk Len yakin model pembangunan tersebut mampu diperluaskan ke kawasan lain di Kuala Rajang.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pemilik tanah yang berpotensi menceburi industri akuakultur supaya memanfaatkan tanah masing-masing bagi menjana pendapatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.
Beliau turut memaklumkan agensi berkaitan bersedia menyediakan khidmat nasihat, kepakaran teknikal dan bimbingan kepada individu yang berminat membangunkan projek akuakultur secara komersial.
Turut hadir Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah; Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab; serta Ketua Cawangan Perikanan Rekreasi, Jabatan Perikanan Malaysia, Haryati Abdul Wahab.-EDISI UKAS