Dato Sri Fatimah Tinjau Operasi SAR, Santuni Keluarga Mangsa Lemas Di Dalat
DALAT: Keprihatinan terhadap nasib rakyat terus dizahirkan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah apabila turun padang meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Tebingan Sungai Kampung Tanam, di sini, pada Ahad.
Beliau yang tiba di lokasi kira-kira jam 9 pagi diberikan taklimat oleh Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chunggat berhubung perkembangan terkini operasi SAR yang sedang dijalankan.
Taklimat tersebut turut dihadiri wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mukah, Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Dalat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Dalat, ketua-ketua masyarakat serta penduduk kampung yang bersama-sama membantu usaha pencarian mangsa.
Selesai taklimat, Dato Sri Fatimah bersama rombongan meninjau lokasi pencarian di sekitar Sungai Kampung Tanam bagi melihat sendiri perjalanan operasi, di samping memberikan sokongan moral kepada semua anggota dan sukarelawan yang terlibat.
Mangsa kemudiannya berjaya ditemukan oleh pasukan operasi dengan bantuan peralatan tradisional dikenali sebagai ‘Saiit’, iaitu rotan berduri yang lazim digunakan masyarakat tempatan dalam operasi pencarian di sungai.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Mukah untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mengikut prosedur yang ditetapkan.
Selepas meninjau operasi, Dato Sri Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat turut menziarahi kediaman keluarga mangsa di Kampung Tanam Seberang bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan kata-kata semangat kepada waris yang sedang berdepan saat sukar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota pasukan keselamatan, agensi penyelamat, pemimpin masyarakat dan penduduk kampung yang berganding bahu sepanjang operasi SAR dijalankan.-EDISI UKAS