Penglibatan Belia Diperkukuh Sokong Pembangunan Lawas
LAWAS: Penglibatan aktif golongan belia dan komuniti setempat terus diperkukuh sebagai rakan strategik dalam menyokong agenda pembangunan Lawas, selaras dengan komitmen kerajaan memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, pembangunan sesebuah kawasan tidak hanya bergantung kepada pelaksanaan projek kerajaan, malah memerlukan kerjasama serta penyertaan aktif masyarakat dalam menjayakan agenda pembangunan.
Menurut beliau, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan Lawas, termasuk memperkukuh kemudahan kesihatan, infrastruktur serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Walaupun Lawas berada jauh dari pusat pembangunan utama, kita dapat melihat pelbagai perubahan dan kemajuan yang telah dicapai. Apa yang penting ialah semangat kerjasama perlu terus diperkukuh supaya agenda pembangunan dapat diteruskan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Mini Karnival Armada Pemuda PBB Bukit Sari 2026 di Stadium Terbuka Lawas, pada Sabtu.
Dato Lukanisman menegaskan, golongan belia dan wanita perlu terus diperkasakan kerana mereka merupakan aset penting dalam pembangunan masyarakat serta mempunyai peranan besar menyumbang idea, tenaga dan kepimpinan demi kemajuan kawasan.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda PBB N.82 Bukit Sari, Durahman Salleh berkata, penganjuran mini karnival tersebut menjadi platform memperkukuh hubungan antara Pergerakan Pemuda, Wanita dan Belia PBB dengan masyarakat di 43 ranting PBB Bukit Sari.
Katanya, selain mengeratkan silaturahim, program itu turut menggalakkan penyertaan golongan muda dalam aktiviti kemasyarakatan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti.
Pelbagai pengisian diadakan sepanjang program termasuk Fun Run Wanita, Pertandingan Gubahan Bunga, Pertandingan Slingshot dan Pertandingan Bola Sepak yang mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak dan Timbalan Ketua Cawangan PBB N.82 Bukit Sari Awangku Jenal Abedin Pengiran Jawa, Naib Ketua Cawangan PBB N.82 Bukit Sari Kaunselor Haris Majid, Setiausaha PBB Cawangan N.82 Bukit Sari Kaunselor Awang Ibrahim Ahmad, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Wanita PBB Sarawak, Dayangku Norly Pengiran Tajudin, Ketua Pergerakan Wanita PBB N.82 Bukit Sari Auji Najian Garip, Ketua Pergerakan Belia PBB N.82 Bukit Sari Mohamad Sahrell Mehran Morshidi, serta barisan kepimpinan PBB N.82 Bukit Sari Lawas.— EDISI UKAS