Perpustakaan Desa Kampung Tambirat Pemangkin Pembangunan Modal Insan, Budaya Ilmu
ASAJAYA: Perpustakaan Desa Kampung Tambirat yang dinaik taraf diharap menjadi pusat ilmu yang mampu melahirkan generasi berpengetahuan, berinovasi dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Sarawak membangunkan modal insan berkualiti untuk menerajui masa depan negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pembangunan sesebuah masyarakat tidak hanya bergantung kepada kemajuan fizikal, malah memerlukan pelaburan berterusan dalam pendidikan dan pembinaan minda.
Beliau berkata, perpustakaan memainkan peranan penting dalam membentuk cara berfikir masyarakat kerana tamadun yang hebat sentiasa lahir daripada budaya ilmu dan kecintaan terhadap pembacaan.
“Masjid membentuk akhlak, sekolah membentuk pengetahuan dan balai raya mengeratkan perpaduan masyarakat, namun perpustakaan membentuk pemikiran.
“Tamadun yang hebat tidak dibina semata-mata dengan bangunan besar, tetapi dibangunkan oleh masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perpustakaan Desa Kampung Tambirat, di sini, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu menambah, sejarah kegemilangan tamadun Islam menerusi kewujudan Baitul Hikmah di Baghdad yang melahirkan tokoh ilmuwan seperti Al-Khawarizmi dan Ibnu Sina membuktikan bahawa kemajuan sesebuah tamadun bermula daripada penguasaan ilmu.
Menurut beliau, semangat tersebut perlu diterapkan di peringkat akar umbi melalui perpustakaan desa bagi menyemai minat membaca dan budaya menimba ilmu dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut menegaskan bahawa meskipun dunia kini bergerak pantas ke arah kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan automasi, ilmu pengetahuan tetap menjadi asas utama dalam melahirkan masyarakat yang mampu memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab.
“Teknologi boleh membantu mempercepatkan kerja manusia, namun ia tidak mampu membentuk akhlak dan nilai kemanusiaan.
“AI mungkin boleh menjadi pembantu kepada manusia, tetapi ilmu pengetahuan mesti menjadi pemimpin kepada teknologi tersebut,” katanya.
Menyentuh pembangunan kawasan, Dato Sri Abdul Karim berkata Kampung Tambirat kini menikmati pelbagai kemudahan asas termasuk jaringan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi, selain bakal mengalami transformasi menerusi pembangunan projek waterfront bernilai hampir RM200 juta yang dijangka menjadi antara yang terpanjang di Sarawak selepas Tebingan Kuching.
Katanya, projek tersebut diyakini mampu merancakkan ekonomi setempat serta memperkukuh potensi Kampung Tambirat sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan dan komuniti.
Turut hadir, Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali, Wakil Residen Bahagian Samarahan Nur’ain Adam, Penolong Pegawai Daerah Asajaya Hasanah Bujang, Timbalan Pengerusi MPKS Daily Joseph, Setiausaha Perbandaran MPKS Zuraida Idris dan Pengerusi Pengelola Perasmian Perpustakaan Desa Kampung Tambirat 2026 Profesor Madya Dr Sopian Bujang. -EDISI UKAS