Perhimpunan Hari Sarawak, Konsert Rakyat Sedia Berlangsung di Sibu
SIBU: Persiapan raptai penuh bagi perasmian Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 yang akan berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang pada 22 Julai berjalan lancar menjelang kemuncak sambutan itu, pada Ahad.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin, hadir meninjau persiapan dan perjalanan raptai yang melibatkan pelbagai pengisian acara serta aspek logistik sebagai persediaan menerima kehadiran tetamu kehormat dan orang ramai.
Tinjauan itu bertujuan memastikan semua perancangan berjalan mengikut jadual di samping melakukan penyelarasan akhir sebelum acara berlangsung.
Sepanjang raptai penuh itu, pelbagai persembahan, gimik acara, sistem teknikal serta atur cara rasmi diuji dengan teliti bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program yang menjadi acara kemuncak Sambutan Hari Sarawak 2026.
Turut hadir menyaksikan raptai ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, bersama wakil agensi yang terbabit secara langsung dalam penyelarasan dan pengurusan acara.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Seni Sarawak (MSS) Dr. Suffian Jalet, Ketua Bahagian Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara, Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Kamaludin Busrah dan Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Sibu Nursyamilla Jeruis.
Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat dijadual berlangsung bermula pukul 8 malam di Dataran Tun Tuanku Bujang dan merupakan antara tujuh acara utama yang diatur sepanjang Sambutan Hari Sarawak 2026 di Sibu.
Acara itu dijangka diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Konsert Rakyat akan menampilkan persembahan artis tempatan termasuk Hafiz Suip, Ricky Andrewson, Kelly, Claudia, Priscilla Abby dan Ericson serta penyanyi popular Mimi Fly.
Sambutan Hari Sarawak 2026 berlangsung di Sibu dari 20 hingga 22 Julai dengan tema “Sarawak Maju Makmur, Segulai Sejalai”, melibatkan pelbagai program rasmi, keagamaan, komuniti dan hiburan rakyat bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.-EDISI UKAS