Kerajaan Gigih Lestarikan Hidupan Laut, Jana Sumber Ekonomi Nelayan Tempatan
BELAWAI: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha melestarikan sumber hidupan laut sebagai langkah memastikan khazanah marin kekal terpelihara, selain menyokong kelangsungan ekonomi komuniti nelayan di kawasan pesisir.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pemeliharaan sumber marin perlu menjadi tanggungjawab bersama kerana ia bukan sahaja penting untuk keseimbangan ekosistem, malah menjadi sumber kehidupan masyarakat nelayan.
Menurutnya, aktiviti seperti pertandingan memancing bukan sekadar berorientasikan rekreasi, sebaliknya turut membawa mesej kesedaran mengenai kepentingan menjaga khazanah laut secara berterusan.
“Penganjuran pertandingan memancing ini bukan bertujuan untuk menyekat masyarakat mencari rezeki atau beriadah, tetapi untuk memastikan sumber yang ada ini dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang.
“Kita mahu khazanah laut ini terus menjadi sumber kehidupan, bukan sahaja untuk kita pada hari ini, tetapi juga untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian GP Belawai Siri 1/2026 di Pantai Iftitah Restaurant dan Resort, Belawai, di sini, pada Ahad.
Datuk Len Talif menambah, pendekatan pemuliharaan yang dilaksanakan perlu disokong oleh semua pihak termasuk komuniti nelayan, pemancing serta masyarakat setempat.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan juga berperanan sebagai medium pendidikan bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai amalan penangkapan ikan secara bertanggungjawab, termasuk memelihara spesies marin yang dilindungi.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu berkata, pertandingan anjuran Jabatan Perikanan Laut Sarawak dengan kerjasama Iftitah Restaurant dan Resort itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 300 peserta dari pelbagai kawasan termasuk Belawai, Mukah, Sibu, Kuching dan Bintulu berjaya dihimpunkan.
Beliau berkata, penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam program tersebut membuktikan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan menjaga sumber marin sebagai aset berharga yang mampu menjana manfaat ekonomi secara mampan.-EDISI UKAS