Kesedaran Pelihara Sumber Marin Diperkasa Menerusi GP Belawai
BELAWAI: Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara sumber marin perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan khazanah laut kekal terpelihara dan dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Yusuf Abd Wahab berkata, usaha menjaga sumber perikanan bukan hanya bergantung kepada kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk komuniti nelayan, pemancing dan masyarakat setempat.
Menurutnya, penganjuran GP Belawai Siri 1/2026 menjadi salah satu pendekatan untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem laut, selain mempromosikan aktiviti rekreasi memancing.
“Ini merupakan usaha kolektif antara kerajaan dan komuniti perikanan. Kita mahu memastikan sumber laut yang ada hari ini terus dipelihara supaya tidak pupus dan masih boleh dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program GP Belawai Siri 1/2026 yang berlangsung Pantai Iftitah Restaurant dan Resort, Belawai, pada Ahad.
Menurut Dato Yusuf, kejayaan penganjuran siri pertama tersebut membuka ruang untuk program berkenaan diteruskan menerusi siri seterusnya yang dijangka berlangsung sekitar September dan November pada tahun ini.
Katanya, selain pertandingan memancing, program tersebut turut dimanfaatkan sebagai medium pendidikan apabila Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) menyediakan ruang pameran berkaitan spesies hidupan marin yang perlu dipelihara.
Beliau berkata, ikan lumba-lumba dan ikan yu tukul merupakan antara spesies dilindungi yang tidak boleh ditangkap dan perlu dilepaskan semula sekiranya tertangkap.
“Sekiranya spesies yang dilindungi tertangkap secara tidak sengaja dan mati ketika berada dalam jaring, perkara itu perlu dilaporkan kepada pihak JPLS untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato Yusuf berkata, kawalan terhadap pengeluaran lesen nelayan pantai juga penting bagi memastikan aktiviti penangkapan ikan tidak menjejaskan populasi sumber marin secara berlebihan.
Tambahnya, tindakan pemuliharaan yang dilakukan pada masa kini merupakan pelaburan jangka panjang agar generasi akan datang masih dapat menikmati kekayaan hasil laut.
Dalam pada itu, program tersebut turut memberi kesan positif kepada ekonomi komuniti apabila peniaga dan pengusaha makanan tempatan berpeluang mempromosikan serta menjual produk masing-masing sepanjang acara berlangsung.
Beliau berharap penganjuran GP Belawai dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan lebih ramai pemancing dari seluruh Sarawak, sekali gus memperkukuh sektor rekreasi serta ekonomi setempat.-EDISI UKAS