RM60 Juta Lindungi Pantai Belawai Daripada Ancaman Hakisan
BELAWAI: Kerajaan Sarawak memperkukuh usaha melindungi Pantai Belawai daripada hakisan menerusi pembinaan pemecah ombak bernilai RM60 juta yang bakal menjadi benteng perlindungan kawasan pesisir.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek sepanjang 700 meter di Tanjung Manat itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan kawasan pesisir terus dilindungi untuk manfaat penduduk.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi mengurangkan risiko kehilangan kawasan tanah selain memastikan pelbagai kemudahan yang telah dibangunkan di sekitar Belawai tidak terjejas akibat hakisan.
“Jika dilihat keadaan di Seberang Belawai, terdapat kawasan tanah yang telah mengalami hakisan sehingga sebahagiannya berada di dalam laut.
“Melalui pembinaan pemecah ombak ini, kita berharap kawasan berkenaan dapat dipelihara dan perlindungan terhadap kawasan sekitar dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian GP Belawai Siri 1/2026 anjuran Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) dengan kerjasama Iftitah Restaurant dan Resort yang berlangsung di Pantai Iftitah Restaurant dan Resort, Belawai pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu berkata, pembangunan infrastruktur perlindungan pantai perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan keselamatan kawasan penempatan serta aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau memaklumkan projek pembangunan Tebingan Pantai Belawai bernilai RM161 juta kini sedang melalui proses akhir penyediaan reka bentuk sebelum pelaksanaan.
Katanya, pembangunan sepanjang dua kilometer dari kawasan Pejabat Pengairan dan Saliran hingga ke Kampung Belawai itu akan merangkumi kemudahan awam serta ruang rekreasi yang mampu memberi nilai tambah kepada kawasan tersebut.
Datuk Len Talif berkata, projek berkenaan dijangka menjadikan Belawai lebih menarik sebagai lokasi kunjungan, sekali gus membuka peluang kepada pertumbuhan aktiviti pelancongan dan ekonomi tempatan.
Tambahnya, cadangan pembangunan seperti padang golf dan hotel turut menunjukkan perancangan jangka panjang kerajaan dalam mewujudkan ekosistem pelancongan yang mampu memberi manfaat berterusan kepada penduduk.
Menurut beliau, gabungan antara perlindungan alam sekitar, pembangunan infrastruktur dan pengembangan sektor pelancongan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan Belawai pada masa hadapan.-EDISI UKAS