Ahli Parlimen Kota Samarahan Salur Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran Di Kampung Niup
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang menziarahi keluarga mangsa kebakaran di Kampung Niup bagi menyampaikan bantuan dan memberi sokongan kepada mereka yang terjejas akibat kejadian tersebut yang berlaku pada Khamis lepas.
Dalam lawatan tersebut, beliau menyampaikan beberapa bentuk bantuan kepada keluarga terbabit sebagai usaha membantu meringankan beban yang ditanggung susulan musibah berkenaan.
Menurut beliau, kejadian yang menimpa keluarga tersebut pastinya memberi kesan yang amat besar, terutama dari segi emosi dan kehilangan harta benda.
"Semoga bantuan yang disalurkan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa serta menjadi pembakar semangat untuk mereka bangkit semula selepas diuji dengan dugaan yang berat," katanya pada Ahad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mangsa kebakaran berkenaan.
Ujarnya, semangat kebersamaan dan sikap prihatin masyarakat amat penting dalam membantu mereka yang ditimpa musibah untuk meneruskan kehidupan seperti sediakala. -EDISI UKAS