Kampung Empila Hilir Banggakan Sarawak Terima Pengiktirafan Anugerah Desa MADANI
ASAJAYA: Kampung Empila Hilir terus mengharumkan nama Sarawak apabila mewakili negeri ke Anugerah Desa MADANI di Jengka, Pahang, sekali gus membuktikan keupayaan komuniti luar bandar membangunkan kampung secara mampan dan berdaya saing.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil semangat kerjasama, komitmen dan rasa tanggungjawab tinggi yang ditunjukkan oleh kepimpinan kampung serta seluruh penduduk.
"Pencapaian Kampung Empila Hilir turut menyerlahkan keupayaan komuniti luar bandar dalam memanfaatkan potensi setempat serta mengetengahkan identiti dan keunikan kampung sehingga mendapat perhatian di peringkat nasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi ziarah santai bersama warga Kampung Empila Hilir, di sini, pada Ahad.
Datuk Rubiah merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh kepimpinan kampung serta penduduk yang telah berganding bahu dalam membangunkan dan menceriakan kampung sehingga berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan.
Beliau berharap kejayaan yang dicapai itu akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak kampung di Kota Samarahan dan seluruh Sarawak untuk terus mengambil inisiatif memperindah kawasan masing-masing, mengenal pasti kelebihan setempat serta memperkukuhkan pembangunan komuniti secara menyeluruh. -EDISI UKAS