Sarawak Perkukuh Tadbir Urus, Integriti Melalui Persidangan Pencegahan Penipuan 2026
KUCHING: Usaha memperkukuh tadbir urus dan integriti organisasi terus diperkasa menerusi penganjuran Integrity Governance and Fraud Prevention Conference 2026 yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari sektor awam dan swasta.
Persidangan diadakan di Kuching bermula 16 hingga 17 Julai itu dianjurkan oleh Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) Sdn. Bhd., sebagai platform strategik membincangkan cabaran semasa berkaitan risiko penipuan serta kelemahan tadbir urus institusi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata penganjuran persidangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.
Menurut beliau, organisasi masa kini berdepan cabaran baharu termasuk penipuan berasaskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), deepfake dan manipulasi digital yang menuntut pendekatan tadbir urus lebih mantap serta responsif.
“Pembinaan organisasi berdaya tahan bukan sekadar pematuhan semata-mata, tetapi memerlukan kepimpinan berkeupayaan, struktur tadbir urus yang kukuh serta budaya kerja berteraskan integriti dan akauntabiliti,” katanya.
Dalam pada itu, persidangan berkenaan turut memberi penekanan kepada aspek pencegahan penipuan, kawalan dalaman organisasi, tadbir urus perolehan, mekanisme pendedahan maklumat (whistleblowing) serta peranan kepimpinan dalam memastikan akauntabiliti institusi.
Sepanjang program, para peserta turut didedahkan dengan pembentangan utama, perbincangan panel serta kajian kes sebenar termasuk perkongsian perspektif antarabangsa seperti amalan tadbir urus dari Jepun.
Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap keperluan memperkukuh daya tahan organisasi melalui pengurusan risiko yang efektif serta pembudayaan nilai etika dalam setiap lapisan organisasi.
Persidangan ini juga dijangka memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta dalam membentuk ekosistem tadbir urus yang lebih mampan dan berintegriti.-EDISI UKAS