Raptai penuh Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Hari Sarawak 2026 berjalan lancar
SIBU: Raptai penuh Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026 berlangsung lancar di Hotel Kingwood Sibu pada Isnin sebagai persiapan akhir menjelang penganjuran majlis itu malam ini.
Raptai yang bermula pada jam 10 pagi itu melibatkan penyelarasan atur cara, protokol serta aspek teknikal bagi memastikan kelancaran majlis.
Hadir menyaksikan raptai ialah Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak, Dato Georgina Apphia Ngau, Timbalan Menteri Bertanggungjawab Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain, Datuk Dr Penguang Manggil bersama wakil agensi yang terlibat dalam penganjuran.
Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain malam ini akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Majlis itu turut diisi dengan Doa Kesyukuran yang akan dipimpin oleh wakil agama Kristian, Sikh, Baha’i, Buddha, Hindu dan Tao, sebagai simbol kesyukuran serta keharmonian masyarakat pelbagai agama di Sarawak.
Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan khas daripada pertubuhan-pertubuhan pelbagai agama.-EDISI UKAS