Kerjasama Semua Pihak Penting Jayakan Usaha Membasmi Tikus di Kawasan Penjaja
SARIKEI: Kerjasama semua pihak termasuk penjaja dan masyarakat amat penting bagi memastikan usaha membasmi tikus di kawasan penjaja dapat dilaksanakan secara berkesan serta berterusan.
Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Kr Stephen Wong Kie Yong, berkata usaha tersebut tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak dalam mengamalkan pengurusan sisa pepejal yang baik serta memastikan premis sentiasa bersih bagi mengelakkan pembiakan tikus.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Membasmi Tikus di Pusat Penjaja Sungai Nyelong anjuran Majlis Daerah Sarikei pada Jumaat.
Menurutnya, kempen itu merupakan usaha proaktif Majlis Daerah Sarikei bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan selain membendung ancaman penyakit bawaan tikus seperti leptospirosis, salmonellosis dan penyakit bawaan makanan.
Jelasnya lagi, kempen berkenaan turut memberi pendedahan kepada penjaja dan orang ramai mengenai bahaya infestasi tikus, di samping memupuk budaya menjaga kebersihan sebagai tanggungjawab bersama bagi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selamat dan sihat.
Beliau berharap kempen seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kebersihan persekitaran serta menjadi pemangkin kepada amalan kebersihan yang berterusan demi kesejahteraan komuniti. - EDISI UKAS