Pembangunan Infrastruktur Sukan Akar Umbi Terus Diperkasa
SARIKEI: Pembangunan infrastruktur sukan di peringkat akar umbi terus diberi perhatian bagi memastikan setiap rakyat Sarawak, sama ada di bandar mahupun luar bandar, dapat menikmati kemudahan sukan yang selesa dan berkualiti.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata sukan bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah menjadi medium penting dalam melahirkan masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental merentasi semua peringkat usia.
Menurut beliau, sukan seperti bola keranjang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup aktif, malah menerapkan nilai kerjasama, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan pemain.
“Saya berharap semua pasukan dan atlet bertanding dengan penuh integriti, menghormati lawan serta menjadikan semangat kesukanan sebagai nilai utama yang mengatasi keinginan untuk meraih kemenangan semata-mata.
“Menang atau kalah bukanlah ukuran sebenar, sebaliknya pengalaman, persahabatan dan nilai murni yang dibina sepanjang kejohanan inilah yang akan menjadi kenangan serta bekalan paling bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Kejohanan Bola Keranjang Antara Daerah 2026 di Stadium Bola Keranjang Susur Jambu pada Jumaat.
Ahli Parlimen Sarikei itu berkata, setiap pemain bukan sahaja mengasah kemahiran di gelanggang, malah belajar untuk saling mempercayai, menyokong dan memperkukuh semangat berpasukan.
Sehubungan itu, beliau mengambil inisiatif membina gelanggang bola keranjang di sekolah-sekolah sekitar kawasan Sarikei bagi memberi peluang kepada golongan muda mengenali dan meminati sukan tersebut sejak usia awal.
“Saya percaya dengan kemudahan yang lengkap dan mudah diakses, lebih ramai anak muda akan mula meminati sukan ini dan mungkin suatu hari nanti, dari gelanggang sekolah akan lahir bintang bola keranjang masa depan Sarikei,” ujarnya.
Pada majlis sama, Dato’ Sri Huang turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Kelab Bola Keranjang Repok, Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan kelab tersebut.- EDISI UKAS