Sokongan MRP Perkukuh Gerak Kerja Komuniti di Parlimen Sarikei
SARIKEI: Usaha memperkukuh gerak kerja komuniti terus diberi perhatian apabila sebanyak 46 sekolah, pertubuhan dan jawatankuasa masyarakat di kawasan Parlimen Sarikei menerima sokongan menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata peranan pelbagai organisasi di peringkat akar umbi amat penting dalam memastikan pelaksanaan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat dapat diteruskan secara berkesan.
Jelasnya, sokongan berkenaan bukan sahaja membantu memperkasakan institusi pendidikan, malah turut memberi ruang kepada persatuan, kelab dan jawatankuasa komuniti untuk menjalankan pelbagai inisiatif yang menyumbang kepada kesejahteraan penduduk.
“Kerajaan sentiasa menghargai usaha yang dimainkan oleh setiap organisasi kerana penglibatan mereka membantu melengkapkan usaha pembangunan yang dilaksanakan, khususnya dalam memperkukuh hubungan dan semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP bagi kawasan Parlimen Sarikei khusunya daerah Meradong di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei berkata bantuan tersebut diharap dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh pelaksanaan program dan aktiviti yang dirancang oleh setiap penerima mengikut keperluan komuniti masing-masing.
Beliau menambah, kerjasama berterusan antara kerajaan, sekolah, persatuan dan masyarakat merupakan elemen penting dalam memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara inklusif.-EDISI UKAS