Kunjungan Hormat MAIS Perkukuh Peranan Pemeliharaan Adat Natif
KUCHING: Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai menerima kunjungan hormat daripada Ketua Majlis, Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) yang baharu, Datu Dr Neilson Ilan Mersat.
Kunjungan diadakan di Bangunan Baitulmakmur I, di sini pada Isnin bertujuan mengeratkan jalinan kerjasama antara kepimpinan kerajaan dan institusi adat negeri sebagai usaha
memperkukuhkan pemeliharaan serta pembangunan adat natif di Sarawak.
Datu Dr Neilson Ilan yang dilantik sebagai Ketua Majlis MAIS telah melapor diri pada 13 Julai lalu bagi menerajui badan tersebut untuk tempoh tiga tahun.
Dalam pertemuan tersebut, Dato Sri John Sikie merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau, selain turut mengucapkan tahniah kepada Setiausaha MAIS yang baharu, Elsie William.
Selain itu, pertemuan itu turut berkongsi mengenai penganjuran Simposium Adat Iban yang dijadual berlangsung pada September 2026 di Sibu, melibatkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada Ketua Masyarakat, Ketua Kaum Iban serta wakil agensi kerajaan negeri.
Beliau berharap kepimpinan baharu MAIS akan terus memperkukuh peranan institusi tersebut dalam memelihara, membangun dan memperluaskan adat natif sebagai warisan penting negeri ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat serta pegawai kanan MAIS.-EDISI UKAS